PERMOHONAN KEMASUKAN 2008
Syarat-syarat kemasukan dan muat turun borang.

Kalendar Aktiviti Darul Falah Diperkenalkan
Pihak Darul Falah memperkenalkan kalendar aktiviti Asrama Anak Yatim Darul Falah
Pembinaan Surau Asrama Darul Falah
Pihak Darul Falah memerlukan sumbangan untuk melaksanakan projek pembinaan surau Asrama Darul Falah...
Website Baru Darul Falah
Website baru Darul Falah telah dilancarkan pada 20/3/07. Segala komen amat dialu alukan.




 


Latar Belakang PERKASA

Persatuan Kebajikan Islam Terengganu atau lebih dikenali dengan nama PERKASA telah diasaskan pada 15 Ramadhan 1365 bersamaan 16 Ogos 1946 yang dinaungi oleh Almarhum D.Y.M.M. Sultan Mahmud Al-Muktafi BSSillah Shah Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Mula 8 Oktober 2000, PERKASA mendapat ampun perkenan D.Y.M.M Tunku Al-Wathiqu Billah Shah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Tuanku Al-Sultan Mahmud Al-Muktafi BSSillah Shah bagi menaungi PERKASA.

Dato' Haji Wan Abd. Rahman bin Long, Kadi Besar Terengganu pada masa itu telah mempelopori penubuhannya. Dengan kerjasama pegawai-pegawai di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan mendapat sokongan Pembesar Negeri Terengganu pada masa itu.



Sejarah Ringkas Darul Falah
Bergotong royong membersihkan kawasan untuk bangunan baru Darul Falah pada 14 September 1962
Asrama Anak Yatim Darul Falah telah ditubuhkan pada 30.7.1962, sebagai sebahagian dari aktiviti PERKASA dalam memperluaskan lagi usaha kebajikan khas bagi anak-anak kehilangan ibu bapa (yatim) yang miskin dan daif.

Misinya ialah untuk membela nasib anak-anak yatim piatu yang miskin serta tiada penjagaan sempurna, tanpa mengira darjah pencapaian akademik. Anak ini ditanggung keseluruhannya sehingga boleh berdikari sendiri.


Diketuai oleh Allahyarham Dato' Haji Mohd Salleh bin Awang (Dato' Setia Jasa) atau nama penanya MISBAHA 'Pelopor Darul Falah' yang pada masa itu bertugas sebagai Pemeriksa Hal Ehwal Agama Terengganu dengan penasihat utamanya, Mufti Kerajaan Terengganu Sabihul Samihah Syed Yusof Al-Zawawi, dan dibantu oleh beberapa orang ahli jawatankuasa PERKASA yang terdiri di kalangan guru-guru pelawat agama.
Ahli Jawatankuasa Darul Falah yang pertama bergambar dengan anak-anak Darul Falah 1964

Kenangan hari penyerahan rumah pertama Darul Falah oleh tuan punya, Encik Haji Taib b. Ibrahim P.J.K 14 September 1962 kepada PERKASA

Darul Falah terletak di atas sebidang tanah seluas 3.587 ekar yang didermakan oleh Tuan Haji Taib bin Ibrahim, di Kampung Padang Pak Su Man, Bukit Payung, Marang, Terengganu. Bangunan telah didirikan secara gotong-royong dan perbelanjaan hasil derma orang ramai yang berjumlah RM 60,000.00. Dengan hanya menempatkan penghuni seramai 21 orang anak-anak yatim lelaki dari seluruh Terengganu, perasmiannya telah disempurnakan oleh Almarhum DYMM Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Sultan Negeri Terengganu Darul Iman pada 13 Februari 1965 bersamaan 12 Syawal 1384.

Pada tahun 1993, kerajaan negeri telah meluluskan permohonan tanah di sempadan seluas 0.9775 ekar dan pada tahun 1986 pihak PERKASA telah membeli tanah bersebelahan seluas 1 ekar menjadikan tapak asrama ini seluas 5.5625 sehingga kini.

Pada tahun 1989 Darul Falah menerima penghuni perempuan, yang pada permulaannya hanya seramai 16 orang. Penghuni perempuan ini ditempatkan di sebuah bangunan kayu yang didermakan oleh Tuan Haji Ibrahim bin Ismail dari Kampung Padang Midin.


Selain DYMM Tuanku sendiri yang sentiasa mengambil berat ke atas Darul Falah, Pejabat Agama Islam Terengganu, Pejabat Kebajikan Masyarakat Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri dan orang ramai yang sentiasa menghulurkan bantuan menjadikan Darul Falah terus unggul sehingga kini. Untuk 2007, jumlah penghuni asrama Darul Falah adalah seramai 189 orang. Ia menempatkan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah serta lelaki dan perempuan.
DYMM Al Marhum Tuanku Al Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al Marhum Al Sultan Zainal Abidin Al Haj mencemar duli berangkat melawat Darul Falah pada 30hb Jun 1978


 
Copyright© 2007 Darul Falah®. All Rights Reserved - darulfalah.com.my
Ver. 2.3 Beta